Mak janda nak jadi permaisuri

Macam-macam punya gila. Macam-macam punya sandiwara sedang dipentaskan. Lepas satu, satu, tak habis habis. Macam-macam punya cerita. Macam-macam punya labun.

Aku yang jadi tukang karut ini tak sempat nak berjanguk ada sahaja cerita baru yang wajib 'diselampitkan'.

Belum pun abis cerita Saifool, ada pula cerita budak sekolah mati kena terkam buaya di Shah Alam. Sebelum ini ada kes anak Cina cekik leher sendiri. Kes ini masih belum selesai.

Sudah bertahun-tahun laporan mahkamah tak siap-siap sampai uban aku tumbuh di ketiak. Agaknya sudah reput leher anak Cina dalam kubur tetapi siasatan macam mana dia cekik leher dia sendiri masih jadi satu misteri.

Kisah punya kisah, ada satu kisah yang jadi raja segala kisah. Inilah dia datuk dan nenek moyang dari semua kisah-kisah yang pernah dikisahkan. Inilah kisah benar. Kisah benar yang benar-benar belaka. Kisah Mak Janda yang ingin jadi permaisuri.

Al-kisah mengikut kata sahibul hikayat adalah seorang Mak Janda dari negeri Antah Berantah. Dari apa yang telah diceritakan, Mak Janda ini ditakdirkan pendek dan gempal ketika dilahirkan.

Dari zaman kanak-kanak lagi orang sekampung telah memanggil dia Minah Becok kerana mulutnya cukup becok. Becoknya bukan macam murai tercabut ekor tetapi macam Samy Vellu ditemubual RTM.

Maka orang orang kampung pun membuat pantun dan seloka:

Ada seorang Minah Becok
Badannya gempal kakinya tepok
Siang tidur malam bermimpi
Hendak menjadi Raja Permaisuri

Maka mengikut tuan yang empunya cerita, Minah Becok ini pun membesarlah. Maka Si Minah ini berkahwin dan beranak. Mengikut cerita yang didengar melalui akhbar Baca Gembira, si minah ini telah tujuh kali berkahwin dan tujuh kali bercerai.

Berita kahwin cerai kahwin cerai ini sehingga sekarang masih belum digazetkan dalam Parlimen. Ia masih menjadi rahsia negara.

0 comments:

Post a Comment